Wednesday, May 14, 2014

NOSTALGIA CINTA ALLAHYARHAM ADAM AHMAD


Lagu KAU PERGI JUA terngiang-ngiang ditelinga. Kenangan sewaktu zaman remaja bermain2 diingatan seiring dengan kemerduan alunan suara si penyanyi hitam manis ini. Lagu tentang keluh kesah seorang lelaki yang kehilangan/kematian kekasih hati begitu menusuk kalbu waktu itu.
Lagu yang begitu popular sekitar tahun 1983 itu telah menjulang nama penyanyi ini dipersada seni suara. Selain mencipta beberapa buah lagu seperti lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, Adam Ahmad juga pernah mencipta lagu Janji Manismu nyanyian Aishah yang telah berjaya dinobatkan sebagai Juara Lagu pada tahun 1990.
Saya memang amat meminati penyanyi Adam Ahamad ini.  Ketika zaman kegemilangannya, saya banyak mengunting dan menyimpan gambarnya dan di lekatkan di dalam sebuah buku nota. Begitulah, tetiba Adam Ahmad hilang dari persada seni. Tetapi kemunculan waktu diusia 40an apabila dijemput oleh sebuah stesyen tv untuk menyanyikan semula lagu Kau Pergi Jua mengubat kerinduan saya.
Pada Disember 2010, Adam Ahmad menamatkan zaman bujang ketika usia 46 tahun setelah ditemukan jodoh dengan bekas rakan sekolahnya. Tetapi pagi ini saya dikejutkan dengan berita dari laman media sesawang yang mengatakan Adam Ahmad telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang pada jam 12.15 pagi  selepas menghidap penyakit kencing manis, jangkitan kuman dalam darah dan tekanan darah rendah. Telah pergi seorang lagi penggubah dan penyanyi tersohor negara ini dengan meninggalkan khazanah lagu cintanya yang tidak akan lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Semoga rohnya di cucuri rahmat. Al fatihah...


 Di sini saya titipkan lirik lagu KAU PERGI JUA..

Wajahmu
Seindah serinya pelangi yang indah
Seharum mawar putih segar berkembang
Wajahmu
Mengapa sering terbayang dimataku
Sehingga terbawa didalam mimpiku

Sayangku
Tahukah kau didalam hatiku ini
Tersimpan perasaan cinta nan suci
Kau bunga
Ingin kusuntingmu menjadi milikku
Lantas kuabadikan dalam jiwaku

Sayangnya
Harapan yang selama ini kubawa
Hancur berkecai musnah jua akhirnya
Semuanya bagaikan sebuah mimpi

Kau pergi jua
Setelah cinta ku ini membara
Belum sempat ku curahkan kasihku
Kau pergi tak kembali...

Tuesday, May 13, 2014

AKIBAT TIDAK BERHATI-HATI…

Saya ada cerita2 lucu yang terjadi pada saya ketika zaman muda-muda dulu. Saya suka untuk kongsikan disini dan mungkin boleh menjadi peringatan kepada semua agar lebih berhati-hati dan tidak cuai dalam semua perkara. Tak kisahlah kalau pembaca2 nak kata saya apapun yg penting ia tetap menjadi suatu kenangan untuk saya sendiri.


Begini ceritanya...

Waktu di kampung ketika berumur 15-16 tahun saya kerap di suruh ibu ke pasar. Kerana tidak mahu menunggu bas yang kekadang lambat sampai saya meminta bapa menghantar saya dengan motosikalnya. Sebenarnya saya tidak berapa gemar menaiki motosikal kerana saya akan berasa pening bila memakai topi keledar yang saya rasakan terlalu berat untuk dipikul di kepala. Selain dari itu saya juga tidak suka dengan bau minyak rambut yang terperap lama di dalam topi keledar yang sering di pakai bapa. Oleh itu untuk mengelakkan tudung saya dari berbau, saya melapik bahagian dalam topi keledar dengan sehelai kertas suratkhabar. Sampai di pekan bapa menurunkan saya di pasar sementara bapa pergi ke kedai motor untuk membeli sedikit peralatan motosikalnya.

Ketika masuk ke pasar saya melihat semua orang memandang ke arah saya. Ada yang tersenyum dan ada juga yang memandang seperti kehairanan. Saya mula rasa tak selesa dan tertanya-tanya. Ada yang tak kena ke dengan baju atau seluar saya atau lawa sangatkah saya hari ini hingga semua orang asyik memandang saya? Setelah merasakan tidak ada apa yang tidak kena, saya terus juga membeli dari satu gerai ke satu gerai walaupun diperhatikan orang.
Selepas memastikan semua barang yang di pesan ibu telah dibeli, saya keluar dari pasar dan menunggu bapa di tempat yang di janjikan. Oleh kerana hari terlalu panas saya meletakkan tangan di kepala. Ketika itu barulah saya tahu mengapa semua orang asyik memandang saya ketika keluar masuk pasar tadi.

Kerana kebijaksanaan saya meletakkan kertas suratkhabar di dalam topi keledar menyebabkan kertas itu melekap di selendang mengikut bentuk kepala saya. Agaknya orangramai tadi mengganggap saya `kureng’ atau mahu menggayakan fesyen terbaru. Saya tak tau samada nak ketawa atau rasa malu dengan kejadian itu. Bila saya menceritakan kepada bapa, dia ketawa besar mendengarnya.

Satu lagi kejadian yang lucu dan memalukan ialah ketika saya telah bekerja. Oleh kerana jarak tempat kerja dengan rumah sewa agak jauh, biasanya saya akan keluar sekitar jam 6.45 pagi. Tetapi pada pagi itu saya agak terlewat bangun kerana keletihan selepas balik lambat kerana kerja dateline.

Selesai bersiap saya bergegas menuju ke perhentian bas. Hari itu saya memakai `blouse jacket’ berwarna hijau dengan kasut dan beg tangan berwarna hijau juga. Hampir sepuluh minit menunggu, bas pun sampai. Masuk sahaja di dalam bas semua orang memandang saya. Oleh kerana semua tempat duduk telah penuh saya dan seorang lagi penumpang terpaksa berdiri. Sambil itu mulalah saya perasan yang pakaian saya agak cantik pagi itu dan sebab itulah agaknya semua orang memandang saya. Tetapi bila saya melihat ke bawah barulah saya tahu yang saya telah tersilap memakai kasut. Rupanya sebelah kasut saya berwarna biru. Alangkah malunya saya.

Ketika bas berhenti di lampu isyarat saya bergegas turun. Hendak berjalan satu kilometer balik ke rumah berpeluh juga rasanya. Hendak tak hendak, terpaksa menunggu teksi. Ketika itu kenderaan agak banyak di perhentian lampu isyarat itu. Saya tau penumpang-penumpang bas pasti akan memandang ke arah saya ketika bas berhenti. Walaupun rumput agak tinggi di tepi jalan itu tapi saya pasti mereka akan perasan pada kasut saya yang berlainan warna. Ketika itu saya terlihat sebuah lubang di tepi jalan itu dan menghulurkan sedikit sebelah kaki ke dalamnya untuk mengelak orangramai nampak yang kasut saya berlainan warna. Saya tawakkal, entah-entah lubang ular. Dalam hati rasa nak ketawa. Salah saya juga kerana tidak membuka lampu ketika tergesa-gesa mengambil kasut dalam keadaan agak gelap tadi. Akhirnya saya terlewat juga sampai di tempat kerja.

Sejak hari itu saya sudah serik untuk mengenakan kasut dan beg tangan mengikut warna baju. Biarlah pakai kasut dan beg tangan hitam saja yang masuk untuk semua warna. Saya tidak ghairah lagi untuk membeli beg atau kasut yang berbagai-bagai warna. Inilah akibatnya tidak berhati-hati dalam berbuat sesuatu, akhirnya diri sendiri juga yang malu. Walaupun begitu saya masih menyimpan koleksi kasut-kasut dan beg-beg itu sebagai kenang-kenangan waktu zaman muda.

Saturday, May 10, 2014

Tidak pernah ku sambut hari ibu kerana pada ku hari untuk ibu adalah setiap hari. Semenjak ketiadaan ibu yang telah pergi hampir 24 tahun lalu, aku menjadi terlalu sepi, tiada tempat untuk mengadu dan tempat bermanja. Namun hari ini bila melihatkan kegembiraan insan2 yang menyambut Hari Ibu masing-masing, terdetik rasa untuk melakarkan sejambak kasih melalui titipan puisi. Ibu, doaku sentiasa mengiringimu di alam sana, semoga kau tenang dan damai di pengabadian...

Sunday, May 4, 2014

BUAT BAIK BERPADA-PADA...


Ada segelintir mereka yang menyindir, marah-marah dan mempersoalkan tenteng kedatangan Obama ke Malaysia. Soalan yang sepatutnya ada didalam fikiran kita ialah… Siapalah kita? Mampukan kita menolak bila ada pemimpin berkuasa besar yang mahu menjadi tetamu kita. Bukankah telah menjadi polisi Malaysia untuk tidak menjadi musuh kepada sesiapa dan  menerima siapa juga tetamu yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kita bukan mempunyai kuasa besar spt Cina atau Russia. Lihat saja Russia, mereka tahu mereka mampu melawan hingga berani mengugut untuk tidak membayar hutang  mereka kepada US, malah menjadi seperti Korea Utara yang akhirnya disisih dan mahu dihancurkan. 
Kita bangga dengan Tun Mahathir yang mampu meletakkan nama negara ke mata dunia tapi ada pengorbanan yang harus kita lalui. Lihat bagaimana George Soros penyangak matawang, menyerang ekonomi kita dan memporak-perandakan ekonomi negara-negara miskin dan sedang membangun hingga jatuh merundum, beratus2 syarikat lingkup, berpuluh-puluh projek terbengkalai termasuk lah projek bakun. Tetapi kita bernasib baik kerana mempunyai Perdana Menteri yg bijak dan mampu mengendalikan masalah malahan tidak tunduk kepada tekanan mereka.
Pada pandangan US, Malaysia ini mungkin umpama habuk yang terlekat dibahu, bila2 sahaja boleh dijentik dan dibuang.   Kita bukannya berbuat baik untuk mengampu tetapi ada perkara lebih besar yang perlu kita utamakan.… keamanan dan keselamatan negara.  Kita hanyalah sebuah negara kecil, bukan juga negara militeri malahan ekonomi Malaysia kebanyakkannya masih bergantung kepada pelabur2 dari US. Tetapi itu bukanlah bermakna kita harus tunduk pada mereka umpama kata Tun M, jangan kita merasa satu paksaan untuk tandatangani (TPPA) walaupun negara besar datang, kita merasa kecil, yang  akhirnya akan merugikan kita. 
Orang-orang kita ini kadang2 double standard. Dok sindir-sindir, kutuk-kutuk, maki-maki tapi Md Donald telan jugak, KFC diorang cari jugak. Kalau kita rasa kita mempunyai kuasa sehebat mereka , kita sentuh satu perkara kecil sahaja tapi byk kepentingannya.… mampukan kita menghasilkan ubat-ubatan buatan sendiri secanggih buatan US? Jangan hanya kata ubat tongkat Ali dan kacip Fatimah sahaja yg boleh kita buat….
Walaupun kita tahu MEREKALAH sebenarnya dalang kepada seluruh negara di dunia tetapi biarlah kita bergerak secara berhati-hati “umpama  menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.”  Kita kena yakin pada ketentuan Allah, apa sahaja yang terjadi adalah kehendakNya, cuma kita perlu berusaha untuk tidak terjadinya perkara2 buruk menimpa bumi Malaysia yang tercinta ini. In Sya Allah...