Tuesday, October 14, 2008

SIAPA SEBENARNYA ISTERI DI MATA SUAMI


Kesah rumahtangga berantakan, suami bermain kayu tiga, perceraian, bukan lagi isu yang baru. Statistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan peningkatan dalam kes perceraian pasangan Islam sejak lima tahun kebelakangan ini berbanding bilangan mereka yang melangsungkan perkahwinan.
Sama ada kenapa, salah siapa bukan lagi persoalan. Tapi dalam banyak-banyak kes saya tertarik untuk memperkatakannya berdasarkan pengamatan dan pengalaman, jiran, teman, dan saudara mara yang menghadapi situasi begini. Dalam kebanyakkan kes kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah pihak wanita.
Entah mengapa, zaman sekarang ini amat sukar untuk mencari suami yang benar-benar setia. Sebagai islam memang kita tidak dapat menolak lelaki mempunyai hak untuk memenuhi kuota, tapi kebanyakkan lelaki menggunakan hak mereka dengan cara yang tidak sepatutnya. Kitab hanya dibaca di kulit tanpa membaca isi keseluruhannya. Sikap gemar menipu isteri memang banyak di kalangan suami. Iman di letakkan di belakang bila nafsu menguasai diri.
Anda percayakah bila setiap hari suami anda akan berkata yang dia benar-benar sayangkan anda, senang kata, “I can’t live without you” tapi dalam masa yang sama menyayangi seorang wanita lain dan berangan-angan untuk menikahi wanita itu
Barangkali malang sungguh si isteri, kerana kasihsayang suaminya bersyarat. Kalau dulu sayang yang ditunjukkan suami cuma ala-ala tapi bila niatnya untuk berpoligami di tolak si isteri, maka dia mula menunjukkan kasihsayang yang tidak berbelah bagi dengan harapan isterinya akan terbuka hati. Di mana keikhlasannya?
Seorang teman menghadapi situasi yang amat mendukacitakan. Dulu dia seorang usahawan berjaya. Dia tidak pernah berkira untuk membelanjakan setiap sen wangnya, samada untuk melengkapi barang rumah, perbelanjaan mahupun apa sahaja. Suaminya cuma bergoyang kaki walaupun tahu itu adalah tanggungjawabnya. Duit gaji dihabiskan untuk diri sendiri.
Bila perniagaan isteri jatuh, suami mula mengamuk. Mulalah memaki hamun isteri, berleter duit gaji tak cukup untuk menanggung semua perbelanjaan rumah. Balik kerja, keluar semula, jam 1 atau 2 pagi baru balik. Hendak menegur sapa isteri seminggu sekalipun payah. Kadang-kadang dia tak pedulikan anak isteri yang tak makan di rumah. Isteri seperti menumpang di rumah sendiri. Dengar cerita, suami sebenarnya telah berkahwin lagi tapi dia tiada bukti kukuh.
Walaupun isteri tidak diperlakukan seperti sepatutnya namun untuk menceraikannya tidak sesekali, kerana suami ada nama. Malu agaknya di mata masyarakat. Tapi saya tabik, teman ini jiwanya masih kuat. Walaupun saya nampak perderitaan di matanya tapi dia jarang menunjukkannya. Saya cuma mampu berdoa agar dia dia terus diberi kekuatan untuk bangun membina semula kerjayanya.
Kisah seorang teman yang ditinggalkan suami amat menyentuh hati saya. Hidup mereka anak beranak hanya bergantung pada abangnya yang cuma pekerja biasa, yang juga mempunyai keluarga yang perlu di tanggung. Kalau mengikut hukum, telah jatuh talak kerana empat tahun telah ditinggalkan tanpa nafkah zahir dan batin. Sebak saya melihat anak-anaknya yang dibiarkan tanpa makan pakai yang secukupnya, sedangkan dia bersama isteri baru dan dua anaknya mampu hidup selesa walaupun tidaklah mewah. Bila diminta, suami memberi alasan, bukan tak mahu bagi, tapi bimbang dihalau lagi oleh abang iparnya.
Keluarganya menasihati supaya membawa kes ini ke mahkamah untuk menuntut fasakh tapi teman ini tidak tergamak kerana katanya dia masih sayangkan suaminya. Dia sudah tak kesah lagi kalau bermadu pun sedangkan pada dasarnya talak sudahpun jatuh. Entah bilalah penantiannya akan berakhir.
Lelaki-lelaki begini (maaf bukan semua) sebenarnya tidak boleh diberi muka. Kalau isteri bekerja mereka akan meletakkan semua beban dibahu isteri. Bila berlaku perceraian pula lagilah mereka akan mengelak. Kalau boleh nafkah anak pun tak mahu beri apalagi duit edah bekas isteri.
Kalau isteri bekerja dan meredhakan nafkah anak tidak di beri lagilah senang hati mereka. Pada saya setiap wanita patut menggunakan semua hak yang telah di tetapkan dalam islam. Bukan untuk membalas dendam tetapi sekurang-kurangnya untuk menyedarkan mereka, bahawa bukannya senang untuk bercerai-berai, bak kata Saiful Apek, suka-suka hati lu…
Kerana sikap wanita yang lemah dan setengahnya bersikap tidak kesah, inilah membuatkan mereka mudah menjadi mangsa. Kalangan masyarakat barat yang memusuhi islam menggunakan isu ini untuk memperlekehkan agama Islam. Islam di pandang buruk di mata mereka kerana menindas dan menganiaya kaum wanita. Kepada para suami di luar sana , berfikirlah menggunakan akal sebelum melakukan sesuatu yang menjurus kepada ketidakadilan dan di luar kemampuan diri.
Wahai sang suami, berfikirlah sejenak, bila telah saling melengkapi, apa lagi yang di cari? Kebahagiaan yang di cari sebenarnya ada di depan mata tapi kenapa kabur dek silau nafsu yang meronta..

Anna