Tuesday, November 18, 2008

KESAH "SALAWAR MERAH PINGGIR LAWANG"

Betapa tinggipun kemajuan sains dan teknologi manusia hari ini tidak dinafikan masih terdapat lagi cerita-cerita mistik yang hendak tak hendak harus dipercayai oleh kita di era ini. Ini terbukti dengan adanya lagi kejadian-kejadian mistik yang masih berlaku di mana-mana. Muzium Sultan Shah Alam juga suatu waktu dulu pernah mengadakan pameran barangan mistik seperti jasad jin dan mahkluk aneh yang di dakwa di dapati dengan cara ghaib. Meskipun banyak pihak meragui kesahihan makhluk aneh ini dan mendakwa barangan yang di pamerkan adalah replika dan patung tapi pemilik barangan mistik itu dan pihak muzium juga menyangkal keras dakwaan itu.
Perkara-perkara mistik ini mengingatkan saya pada kejadian-kejadian mistik yang beberapa kali pernah terjadi pada keluarga saya. Entah secara kebetulan atau tidak arwah emak saya memang sering menjadi mangsa. Emak saya yang berkebolehan mengurut orang sering mengalami sakit kaki yang menyebabkan dia tidak dapat berjalan. Bila dibawa berjumpa doktor, doktor tidak dapat mengesan sakitnya lalu kami berikhtiar berubat cara kampung. Ada yang berkata emak di 'buat' oleh seorang bidan yang kami kenali kerana sakit hati emak tidak pernah mengenakan bayaran tertentu waktu mengurut orang dan kerana itu emak disenangi oleh mereka yang memerlukan khidmat emak. Entah ia entah tidak
Tapi yang peliknya bila kami membawa emak keluar dari kampung sakitnya tiba-tiba hilang. Dia dapat berjalan seperti biasa. Tapi biasalah orang tua mana mahu berjalan tinggalkan kampung lama-lama. Baru sehari dua sudah hendak balik.
Pada suatu hari datang seorang makcik iaitu jiran sekampung melawat emak. Rata-rata orang kampung mengetahui yang makcik ini memelihara makhluk halus yang dipanggil pelesit. Emak saya tidak kesah sangat tentang cerita itu dan melayan baik tetamu ini. Hampir sejam mereka bersembang, makcik itu memohon diri untuk pulang. Sebelum pulang dia meminta izin menggunakan tandas untuk membuang air kecil.
Selepas dua jam tetamu pulang emak mula meracau-racau dan memarahi semua orang. Ayah yang mengesyaki sesuatu terus keluar menjemput seorang Pak Aji datang ke rumah. Bila melihat Pak Aji itu, emak menjadi lebih marah dan mula memaki hamun. Pak Aji cuma tersenyum lalu meminta kami menyediakan lada hitam dan sebatang pensil. Lada hitam itu kemudian digelek-gelekkan di bawah ibu jari kaki emak sementara pensil itu diletakkan dicelah ibu jari kaki itu juga. Emak saya menendang-nendang Pak Aji itu sambil menjerit-jerit kesakitan. Saya yang memegang lengan emak merasa kekuatan emak amat berlainan sekali.
Pak Aji kemudian bertanya pada emak, "Mengapa kamu ganggu orang ini?" Sambil menjerit-jerit kesakitan emak menundingkan jarinya ke arah pintu. Tiba-tiba dia bersuara dalam bahasa banjar "Salawar merah pinggir lawang". Kakak saya yang berada di situ segera teringatkan sepasang seluar dalam merah yang ada di dalam bilik air ketika dia masuk tadi. Kakak saya yang tahu makcik tadi tertinggalkan seluar dalamnya mengambil seluar itu dan di campakkannya di atas almari tepi pintu. Itulah yang dikatakan oleh emak saya, salawar merah pinggir lawang yang bermaksud seluar merah tepi pintu. Kakak saya pun mengambil kembali seluar dalam merah itu dan di campakkan keluar rumah. Barangkali emak tadi secara tiba-tiba bercakap bahasa banjar kerana makcik tadi memang berketurunan banjar.
Menurut kata orang, mereka yang memiliki pelesit, kalau ada barang atau ilmu yang ditinggalkan untuk kita, makhluk ini akan datang menganggu untuk menuntut kembali barang milik tuannya. Begitulah alkesahnya.
Saya tidak boleh bayangkan bagaimana makcik itu boleh pulang mengayuh basikal tanpa memakai seluar dalam. Tidakkah dia rasa 'lopong' semacam. Agaknya dia dah biasa tak memakai seluar dalam ketika di rumah. Apa nak diherankan orang-orang tua terutama dikampung-kampung memang jarang mengenakan seluar dalam ketika di rumah malahan kejadian ini masih berlaku lagi sekarang. Mungkin mereka lebih selesa. Saya yang menjalankan perniagaan pad herba kadang-kadang rajin memasuki kawasan kampung untuk mengenalkan produk. Bila di suruh mencuba, makcik-makcik ini memberi bermacam alasan. Bila kita dah nak balik barulah berbisik-bisik memberitahu mereka sebenarnya tidak memakai seluar dalam.
Sampai sekarang pun bila kami adik beradik teringatkan peristiwa "salawar merah pinggir lawang", kami ketawa terkekeh-kekeh. Kadang keluar soalan kelakar, mengapalah makcik tu suruh hantu dia yang datang ambil seluar dalam merahnya.
Di kalangan kawan-kawan yang tahu cerita ini rajin juga bertanya, kemana perginya 'salawar' merah makcik itu. Selamba saya menjawab, "Dah sedekah pada superman"