Tuesday, May 13, 2014

AKIBAT TIDAK BERHATI-HATI…

Saya ada cerita2 lucu yang terjadi pada saya ketika zaman muda-muda dulu. Saya suka untuk kongsikan disini dan mungkin boleh menjadi peringatan kepada semua agar lebih berhati-hati dan tidak cuai dalam semua perkara. Tak kisahlah kalau pembaca2 nak kata saya apapun yg penting ia tetap menjadi suatu kenangan untuk saya sendiri.


Begini ceritanya...

Waktu di kampung ketika berumur 15-16 tahun saya kerap di suruh ibu ke pasar. Kerana tidak mahu menunggu bas yang kekadang lambat sampai saya meminta bapa menghantar saya dengan motosikalnya. Sebenarnya saya tidak berapa gemar menaiki motosikal kerana saya akan berasa pening bila memakai topi keledar yang saya rasakan terlalu berat untuk dipikul di kepala. Selain dari itu saya juga tidak suka dengan bau minyak rambut yang terperap lama di dalam topi keledar yang sering di pakai bapa. Oleh itu untuk mengelakkan tudung saya dari berbau, saya melapik bahagian dalam topi keledar dengan sehelai kertas suratkhabar. Sampai di pekan bapa menurunkan saya di pasar sementara bapa pergi ke kedai motor untuk membeli sedikit peralatan motosikalnya.

Ketika masuk ke pasar saya melihat semua orang memandang ke arah saya. Ada yang tersenyum dan ada juga yang memandang seperti kehairanan. Saya mula rasa tak selesa dan tertanya-tanya. Ada yang tak kena ke dengan baju atau seluar saya atau lawa sangatkah saya hari ini hingga semua orang asyik memandang saya? Setelah merasakan tidak ada apa yang tidak kena, saya terus juga membeli dari satu gerai ke satu gerai walaupun diperhatikan orang.
Selepas memastikan semua barang yang di pesan ibu telah dibeli, saya keluar dari pasar dan menunggu bapa di tempat yang di janjikan. Oleh kerana hari terlalu panas saya meletakkan tangan di kepala. Ketika itu barulah saya tahu mengapa semua orang asyik memandang saya ketika keluar masuk pasar tadi.

Kerana kebijaksanaan saya meletakkan kertas suratkhabar di dalam topi keledar menyebabkan kertas itu melekap di selendang mengikut bentuk kepala saya. Agaknya orangramai tadi mengganggap saya `kureng’ atau mahu menggayakan fesyen terbaru. Saya tak tau samada nak ketawa atau rasa malu dengan kejadian itu. Bila saya menceritakan kepada bapa, dia ketawa besar mendengarnya.

Satu lagi kejadian yang lucu dan memalukan ialah ketika saya telah bekerja. Oleh kerana jarak tempat kerja dengan rumah sewa agak jauh, biasanya saya akan keluar sekitar jam 6.45 pagi. Tetapi pada pagi itu saya agak terlewat bangun kerana keletihan selepas balik lambat kerana kerja dateline.

Selesai bersiap saya bergegas menuju ke perhentian bas. Hari itu saya memakai `blouse jacket’ berwarna hijau dengan kasut dan beg tangan berwarna hijau juga. Hampir sepuluh minit menunggu, bas pun sampai. Masuk sahaja di dalam bas semua orang memandang saya. Oleh kerana semua tempat duduk telah penuh saya dan seorang lagi penumpang terpaksa berdiri. Sambil itu mulalah saya perasan yang pakaian saya agak cantik pagi itu dan sebab itulah agaknya semua orang memandang saya. Tetapi bila saya melihat ke bawah barulah saya tahu yang saya telah tersilap memakai kasut. Rupanya sebelah kasut saya berwarna biru. Alangkah malunya saya.

Ketika bas berhenti di lampu isyarat saya bergegas turun. Hendak berjalan satu kilometer balik ke rumah berpeluh juga rasanya. Hendak tak hendak, terpaksa menunggu teksi. Ketika itu kenderaan agak banyak di perhentian lampu isyarat itu. Saya tau penumpang-penumpang bas pasti akan memandang ke arah saya ketika bas berhenti. Walaupun rumput agak tinggi di tepi jalan itu tapi saya pasti mereka akan perasan pada kasut saya yang berlainan warna. Ketika itu saya terlihat sebuah lubang di tepi jalan itu dan menghulurkan sedikit sebelah kaki ke dalamnya untuk mengelak orangramai nampak yang kasut saya berlainan warna. Saya tawakkal, entah-entah lubang ular. Dalam hati rasa nak ketawa. Salah saya juga kerana tidak membuka lampu ketika tergesa-gesa mengambil kasut dalam keadaan agak gelap tadi. Akhirnya saya terlewat juga sampai di tempat kerja.

Sejak hari itu saya sudah serik untuk mengenakan kasut dan beg tangan mengikut warna baju. Biarlah pakai kasut dan beg tangan hitam saja yang masuk untuk semua warna. Saya tidak ghairah lagi untuk membeli beg atau kasut yang berbagai-bagai warna. Inilah akibatnya tidak berhati-hati dalam berbuat sesuatu, akhirnya diri sendiri juga yang malu. Walaupun begitu saya masih menyimpan koleksi kasut-kasut dan beg-beg itu sebagai kenang-kenangan waktu zaman muda.

No comments: