Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT TINGGAL 2008, SELAMAT DATANG 2009

Tanpa di sedari kita telah sampai ke penghujung tahun. Amat pantas masa berlalu. Seketika nanti 2008 akan melabuhkan tirai. Imbauan segala kejadian suka dan duka akan kekal menjadi memorI di hati masing-masing. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan dan pengajaran untuk kita di hari esok. Laluan perjalanan yang sukar akan mampu kita harungi dengan berbekalkan pengalaman masa lalu.
Awal tahun 2008 menyaksikan kejutan yang tanpa diduga bila kerajaan BN hanya mampu meraih 140 kerusi manakala selebihnya di rampas oleh pihak pembangkang. Senario politik yang agak kelam kabut ini bertambah terjejas bila tahun 2008 juga menyaksikan krisis ekonomi yang agak buruk dalam sejarah Amerika Syarikat yang hampir menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.
Kenaikan harga minyak yang tiba-tiba melambung dan kenaikan harga barangan yang tidak dapat dibendung kini mampu ditangani semula menjadikan keadaan agak reda walaupun tidak banyak yang berubah dari segi ekonomi
Kejadian tanah runtuh awal Disember lalu merupakan mimpi buruk yang berulang kerana manusia sebenarnya tidak pernah belajar dari sejarah.
Peristiwa kasut terbang pastinya menjadi insiden yang amat memalukan untuk Bush. Belum ada dalam sejarah seorang pemimpin ternama di lempar dengan sepasang kasut yang pastinya akan menjadi ingatan dan merupakan ucapan selamat tinggal yang amat mengaibkan untuk seorang presiden.
Kejadian terbaru yang meruntun hati umat Islam bila lebih 155 orang rakyat Pelestin terbunuh dan 310 lagi cedera dalam serangan besar-besaran yang di lancarkan oleh rejim Yahudi. Itu cuma sebahagian dari kejadian-kejadian yang berlaku di tahun 2008. Dan yang pastinya perkahwinan raja sms yang menjadi raja sehari menjadi kenangan yang paling indah untuk peminat-peminat fanatiknya bagi menutup tirai 2008.
Dalam masa kita sibuk menyambut tahun baru 2009, pastinya ramai yang menanam azam. Bila ditanya apa azam di tahun baru, barangkali ramai yang bersemangat melafazkan azam dan cita-cita untuk mencapai sasaran pada tahun ini dan tidak kurang juga yang masih berusaha melunaskan azam tahun lalu yang masih tidak kesampaian. Begitupun masih ramai juga yang menjelang tahun baru, azam entah ke mana, mereka masih di takuk lama.
Dalam kehidupan yang semakin mencabar, wang adalah segala-galanya. Wang hari ini menjadi penentu pada kebahagiaan. Benarkan begitu?
Apapun pandangan anda janganlah menjadi seperti lalang. Jadilah seorang yang tegas untuk membuat keputusan. Paling utama adalah keyakinan yang perlu ada dalam diri. Berpegang teguh pada apa yang ada dalam diri kita walaupun sebenarnya ia tidak di anggap begitu dalam diri orang lain.
Kita sebenarnya dilahirkan sebagai insan yang istimewa. Apa yang penting kita tidak mudah mengalah dan berputus asa. Mudah menjadi seorang pesimis bukan sesuatu yang digalakkan dalam islam.
Tetapi jangan juga kita lupa, di dalam mengejar dunia, jangan lupa kepada akhirat. Dunia sudah terlalu tua untuk terus bertongkat dan kita juga semakin dipanjat usia untuk terus menongkat dunia.
Semoga 2009 menjadi tahun kejayaan untuk kita. SELAMAT TAHUN BARU SEMUA…