Sunday, June 1, 2014

TELUK INTAN OH TELUK INTAN



Hampir 2 minggu rasanya tak lena tidur malam. Teroverlah pulak. Bukan apa, ini semua gara-gara PRK Teluk Intan.  Maklumlah, Teluk Intan tempat aku lahir. Terasa ingin pulang ke sana untuk melihat kemeriahan dan kegamatan suasana menjelang pilihanraya.  Pasti ada bermacam-macam pesta, gerai -gerai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan pastinya suasana bandar Teluk Intan akan terus hidup walaupun telah menjelang dinihari.
Sana sini cerita pasal Teluk Intan. Rasa bangga pula bila di yahoo pun ada cerita pasal Teluk Intan. Teluk Intan yang asalnya bernama Teluk Mak Intan, kemudian Teluk Anson dan kemudian di tukar semula tanpa ada lagi perkataan Mak menjadi kannya Teluk Intan sahaja. Cerita sebuah pekan kecil  yang sebenarnya jarang diingat kecuali hanya kerana Menara Condongnya barulah orang tahu tentang Teluk Intan.
Kali ini penumpuan kepada Teluk Intan amat berbeza. Seronok juga melihat bersilih ganti pak-pak menteri yang turun ke Teluk Intan. Mungkin ada sebahagian dari mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar ini tetiba menjadi tetamu yang tidak diundang.  Berpuluh-puluh wartawan dari pelbagai media memenuhi bandar ini. Restoran-restoran popular bagi penduduk tempatan di sini seperti  Nasi Lambai, Ghulam Rasul atau Mastan Ghani yang paling top dengan mee rebus dan rojak pasembornya pasti menjadi tumpuan.
Mungkin ini adalah kerana Teluk Intan sahaja yang mengadakan pilihanraya semula selepas kematian penyandang dari pihak pembangkang. Dan satu lagi kerana pihak pembangkang yang rata-rata ahlinya terdiri daripada masyarakat cina menampilkan seorang wanita melayu yang masih muda sebagai calon maka pelbagai persepsi dan pandangan negetif yang diberikan oleh orangramai. Walaupun aku tidak lagi menjadi pengundi di sini tetapi rasa terkesan juga. Bukan tidak pernah ada orang melayu yang bertanding mewakili pembangkang sebelum ini di Teluk Intan. Aku tidak ingat tahun bila tetapi rasanya sekitar tahun 1983, seorang lelaki melayu bernama Mazlan mewakili masyarakat cina menjadi calonnya. Menyampah sangat aku masa itu. Walaupun ketika itu aku masih remaja dan tidak layak lagi mengundi tetapi aku tetap rasa marah bila ada calon melayu yang aku rasa menjadi pengkhianat bangsa sendiri.
Tiap hari kalau membaca media atau membuka fb ada sahaja cerita mengenai kempen-kempen yang sedang berlangsung di Teluk Intan. Macam-macam  cerita ada. Macam-macam aib dibuka. Macam-macam gelagat ditonjol.  Itulah cara pilihanraya masa kini. Sekitar 20 tahun kebelakangan ini agak sukar melihat pilihanraya yang agak santun.  Sana sini ada sahaja bahan fitnah,  gelagat sumbang dan kerenah pelik yang dilakukan oleh penyokong dari kedua-dua pihak. Tapi ialah, semua itu adalah sementara.
Bila semuanya telah berakhir dan kemenangan berpihak kepada pihak kerajaan semuanya berasa lega namun di pihak sana masih ada suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dan kekadang menyalahkan sesama sendiri.  Apakah sebenarnya percaturan mereka salah? Apapun pada yang berjaya diucapkan tahniah dan jangan lupa menjalankan kewajipan kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada anda. Teruskan kesinambungan untuk menjadikan bandar ini lebih maju, berwawasan dan dikenali.

No comments: