Wednesday, June 18, 2014

Facelift- teknik Serdev

Teknik Serdev Mencantikkan Wajah Dalam Masa Singkat

Sekian banyak teknik rawatan kecantikan diperkenalkan di negara ini bagi memberi pilihan terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan tubuh atau wajah yang ‘sempurna’.
Usaha-usaha mendapatkan wajah atau tubuh yang diingini tidak pernah terhenti, apatah lagi formula dan kaedah yang diperkenalkan di pusat-pusat kecantikan semakin canggih dan terkini.
Baru dua tahun diperkenalkan di negara ini, teknik rawatan Serdev khusus dicipta bagi mereka yang mahukan wajah dan bahagian-bahagian badan yang kendur kelihatan tegang dan mantap.
Ia juga berfungsi untuk memperkecil dan membentuk anggota yang dikehendaki.
Uniknya, kaedah rawatan Serdev tidak memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan wajah yang cantik dan kelihatan muda sebagaimana yang diingini dan tidak perlu tinggal lama di ‘wad’ misalnya.
Dengan hanya mengambil masa selama sepuluh minit hingga setengah jam (bergantung bahagian anggota badan), pelanggan yang mendapatkan kaedah itu tidak akan merasa sebarang kesakitan dan tidak akan menganggu masa harian mereka.
Menurut Perunding Estetik, Dr. Ng Kuan Choong, 41, teknik Serdev diperkenalkan oleh seorang doktor estetik dari Bulgaria, Nikolay IP Serdev, sepuluh tahun lalu dan kini ia telah digunakan di seluruh dunia. IP Serdev juga merupakan presiden kepada sebuah persatuan pembedahan kecantikan dan perubatan estetik di Bulgaria.
Kaedah teknik kecantikan yang paling terkini ini sangat ringkas kerana hanya menggunakan benang dan jarum - prosedur yang dilakukan sebagaimana kita menjahit butang baju.
Ia juga selamat, berkualiti, berkesan, tiada kesan sampingan, tidak kelihatan kesan teknik berkenaan dan produk yang digunakan juga halal kerana ia berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Teknik ini sangat ringkas, sehinggakan anda boleh melakukan rawatan ini ketika anda keluar rehat untuk makan tengah hari.
“Apabila anda balik semula ke pejabat, wajah anda akan menjadi begitu berbeza, namun orang tidak akan tahu apa yang membuatkan anda kelihatan lebih jelita sekiranya anda tidak memberitahunya,” katanya bergurau.
Dr. Kuan Choong, yang merupakan pengasas dan satu-satunya doktor pakar Serdev di negara ini berkata, ramai daripada kita apabila telah meningkat usia akan berhadapan dengan kulit wajah yang mula jatuh, mengendur, menggeleber dan berkedut.
Wajah yang mengendur bukan disebabkan oleh kulit wajah, ia diakibatkan oleh lapisan bawah kulit yang dipanggil galeal menjadi kendur dan jatuh dan mengakibatkan wajah kelihatan kendur dan kulit tidak menegang.
Pemilik klinik kecantikan The Laser Clinic yang terletak di 11A, Jalan Telawi 5, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, menerusi kaedah Serdev untuk mengembalikan keremajaan wajah, kulit di bahagian kening (atas telinga) yang dipanggil temporal akan ditanda titik berbentuk empat segi.
Kemudian jarum yang disangkutkan benang akan dicucuk kepada keempat-empat tanda titik itu. Benang yang tertinggal di dalam kulit (galeal), hujungnya yang terkeluar akan ditarik 45 darjah kemudian diikat. Kaedah yang sama akan dilakukan kepada bahagian kening di sebelah lagi.
“Hasil tarikan 45 darjah itu akan mengangkat kulit wajah dan galeal sehingga menjadikan wajah lebih tegang, menaik dan menirus di bahagian dagu.
“Tarikan itu akan menjadikan wajah anda lebih muda, cerah dan gebu,” katanya.
Tidak mencacatkan
Apabila ditanya mengenai benang berkenaan, Dr. Kuan Choong berkata, benang itu tidak akan ‘mencacatkan’ wajah pelanggan kerana ia tidak akan kelihatan apabila bahagian hujung yang diikat akan digunting.
Benang akan tertarik ke dalam dan menyerap ke dalam kulit dalam tempoh dua minggu serta kekal di dalamnya.
Teknik ini juga selamat kerana ia tidak akan menganggu urat saraf berhampiran dengan kulit kerana setiap tempat yang ingin dimasukkan benang itu dipastikan terlebih dahulu tidak berbahaya.
Kaedah memasukkan benang itu dilakukan dalam keadaan nyahkuman. Benang itu sendiri mengandungi probiotik, vitamin-vitamin, vitamin C, kolagen dan fiber.
Dr. Kuan Choong berkata, teknik Serdev akan bertahan selama lima hingga sepuluh tahun sebaik ia dilakukan ke atas anggota badan berkenaan dan kos yang diperlukan ialah antara RM2,500 sehingga RM7,000.
“Setakat ini pelanggan yang paling tua untuk mendapatkan rawatan ini berusia 68 tahun dan rawatan ini juga dilakukan oleh mereka yang berusia di awal 20-an.
“Selain wajah, rawatan ini boleh digunakan untuk menaikkan punggung, membentuk bibir, meruncing dagu, dagu terbelah, membuat lesung pipit, menaikkan payu dara, menaik dan mengecilkan hidung, menaikkan pipi, menegangkan leher dan sebagainya,” katanya.
Dr. Kuan Choong juga menasihatkan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan teknik Serdev agar berjumpa dengan doktor yang bertauliah dalam bidang berkenaan.
Apabila ditanya kenapa ada wajah seseorang itu tampak lebih tua daripada usia sebenar, menurutnya ia bergantung kepada bentuk kehidupan yang diharungi, cara hidup dan faktor genetik.
“Ada orang nampak muda bergantung kepada hormon dan genetik iaitu berapa jumlah kolagen dan fiber terkandung dalam wajah seseorang itu,” katanya.

Antara pusat rawatan  -Facelift
Marissa Esthetik, No. 9, Jalan 4, Semenyih Sentral, Semenyih, Selangor. Telefon 03-87234808.




Sumber
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 1, 2014

TELUK INTAN OH TELUK INTAN



Hampir 2 minggu rasanya tak lena tidur malam. Teroverlah pulak. Bukan apa, ini semua gara-gara PRK Teluk Intan.  Maklumlah, Teluk Intan tempat aku lahir. Terasa ingin pulang ke sana untuk melihat kemeriahan dan kegamatan suasana menjelang pilihanraya.  Pasti ada bermacam-macam pesta, gerai -gerai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan pastinya suasana bandar Teluk Intan akan terus hidup walaupun telah menjelang dinihari.
Sana sini cerita pasal Teluk Intan. Rasa bangga pula bila di yahoo pun ada cerita pasal Teluk Intan. Teluk Intan yang asalnya bernama Teluk Mak Intan, kemudian Teluk Anson dan kemudian di tukar semula tanpa ada lagi perkataan Mak menjadi kannya Teluk Intan sahaja. Cerita sebuah pekan kecil  yang sebenarnya jarang diingat kecuali hanya kerana Menara Condongnya barulah orang tahu tentang Teluk Intan.
Kali ini penumpuan kepada Teluk Intan amat berbeza. Seronok juga melihat bersilih ganti pak-pak menteri yang turun ke Teluk Intan. Mungkin ada sebahagian dari mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke bandar ini tetiba menjadi tetamu yang tidak diundang.  Berpuluh-puluh wartawan dari pelbagai media memenuhi bandar ini. Restoran-restoran popular bagi penduduk tempatan di sini seperti  Nasi Lambai, Ghulam Rasul atau Mastan Ghani yang paling top dengan mee rebus dan rojak pasembornya pasti menjadi tumpuan.
Mungkin ini adalah kerana Teluk Intan sahaja yang mengadakan pilihanraya semula selepas kematian penyandang dari pihak pembangkang. Dan satu lagi kerana pihak pembangkang yang rata-rata ahlinya terdiri daripada masyarakat cina menampilkan seorang wanita melayu yang masih muda sebagai calon maka pelbagai persepsi dan pandangan negetif yang diberikan oleh orangramai. Walaupun aku tidak lagi menjadi pengundi di sini tetapi rasa terkesan juga. Bukan tidak pernah ada orang melayu yang bertanding mewakili pembangkang sebelum ini di Teluk Intan. Aku tidak ingat tahun bila tetapi rasanya sekitar tahun 1983, seorang lelaki melayu bernama Mazlan mewakili masyarakat cina menjadi calonnya. Menyampah sangat aku masa itu. Walaupun ketika itu aku masih remaja dan tidak layak lagi mengundi tetapi aku tetap rasa marah bila ada calon melayu yang aku rasa menjadi pengkhianat bangsa sendiri.
Tiap hari kalau membaca media atau membuka fb ada sahaja cerita mengenai kempen-kempen yang sedang berlangsung di Teluk Intan. Macam-macam  cerita ada. Macam-macam aib dibuka. Macam-macam gelagat ditonjol.  Itulah cara pilihanraya masa kini. Sekitar 20 tahun kebelakangan ini agak sukar melihat pilihanraya yang agak santun.  Sana sini ada sahaja bahan fitnah,  gelagat sumbang dan kerenah pelik yang dilakukan oleh penyokong dari kedua-dua pihak. Tapi ialah, semua itu adalah sementara.
Bila semuanya telah berakhir dan kemenangan berpihak kepada pihak kerajaan semuanya berasa lega namun di pihak sana masih ada suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dan kekadang menyalahkan sesama sendiri.  Apakah sebenarnya percaturan mereka salah? Apapun pada yang berjaya diucapkan tahniah dan jangan lupa menjalankan kewajipan kepada rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada anda. Teruskan kesinambungan untuk menjadikan bandar ini lebih maju, berwawasan dan dikenali.

Wednesday, May 14, 2014

NOSTALGIA CINTA ALLAHYARHAM ADAM AHMAD


Lagu KAU PERGI JUA terngiang-ngiang ditelinga. Kenangan sewaktu zaman remaja bermain2 diingatan seiring dengan kemerduan alunan suara si penyanyi hitam manis ini. Lagu tentang keluh kesah seorang lelaki yang kehilangan/kematian kekasih hati begitu menusuk kalbu waktu itu.
Lagu yang begitu popular sekitar tahun 1983 itu telah menjulang nama penyanyi ini dipersada seni suara. Selain mencipta beberapa buah lagu seperti lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, Adam Ahmad juga pernah mencipta lagu Janji Manismu nyanyian Aishah yang telah berjaya dinobatkan sebagai Juara Lagu pada tahun 1990.
Saya memang amat meminati penyanyi Adam Ahamad ini.  Ketika zaman kegemilangannya, saya banyak mengunting dan menyimpan gambarnya dan di lekatkan di dalam sebuah buku nota. Begitulah, tetiba Adam Ahmad hilang dari persada seni. Tetapi kemunculan waktu diusia 40an apabila dijemput oleh sebuah stesyen tv untuk menyanyikan semula lagu Kau Pergi Jua mengubat kerinduan saya.
Pada Disember 2010, Adam Ahmad menamatkan zaman bujang ketika usia 46 tahun setelah ditemukan jodoh dengan bekas rakan sekolahnya. Tetapi pagi ini saya dikejutkan dengan berita dari laman media sesawang yang mengatakan Adam Ahmad telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang pada jam 12.15 pagi  selepas menghidap penyakit kencing manis, jangkitan kuman dalam darah dan tekanan darah rendah. Telah pergi seorang lagi penggubah dan penyanyi tersohor negara ini dengan meninggalkan khazanah lagu cintanya yang tidak akan lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Semoga rohnya di cucuri rahmat. Al fatihah...


 Di sini saya titipkan lirik lagu KAU PERGI JUA..

Wajahmu
Seindah serinya pelangi yang indah
Seharum mawar putih segar berkembang
Wajahmu
Mengapa sering terbayang dimataku
Sehingga terbawa didalam mimpiku

Sayangku
Tahukah kau didalam hatiku ini
Tersimpan perasaan cinta nan suci
Kau bunga
Ingin kusuntingmu menjadi milikku
Lantas kuabadikan dalam jiwaku

Sayangnya
Harapan yang selama ini kubawa
Hancur berkecai musnah jua akhirnya
Semuanya bagaikan sebuah mimpi

Kau pergi jua
Setelah cinta ku ini membara
Belum sempat ku curahkan kasihku
Kau pergi tak kembali...

Tuesday, May 13, 2014

AKIBAT TIDAK BERHATI-HATI…

Saya ada cerita2 lucu yang terjadi pada saya ketika zaman muda-muda dulu. Saya suka untuk kongsikan disini dan mungkin boleh menjadi peringatan kepada semua agar lebih berhati-hati dan tidak cuai dalam semua perkara. Tak kisahlah kalau pembaca2 nak kata saya apapun yg penting ia tetap menjadi suatu kenangan untuk saya sendiri.


Begini ceritanya...

Waktu di kampung ketika berumur 15-16 tahun saya kerap di suruh ibu ke pasar. Kerana tidak mahu menunggu bas yang kekadang lambat sampai saya meminta bapa menghantar saya dengan motosikalnya. Sebenarnya saya tidak berapa gemar menaiki motosikal kerana saya akan berasa pening bila memakai topi keledar yang saya rasakan terlalu berat untuk dipikul di kepala. Selain dari itu saya juga tidak suka dengan bau minyak rambut yang terperap lama di dalam topi keledar yang sering di pakai bapa. Oleh itu untuk mengelakkan tudung saya dari berbau, saya melapik bahagian dalam topi keledar dengan sehelai kertas suratkhabar. Sampai di pekan bapa menurunkan saya di pasar sementara bapa pergi ke kedai motor untuk membeli sedikit peralatan motosikalnya.

Ketika masuk ke pasar saya melihat semua orang memandang ke arah saya. Ada yang tersenyum dan ada juga yang memandang seperti kehairanan. Saya mula rasa tak selesa dan tertanya-tanya. Ada yang tak kena ke dengan baju atau seluar saya atau lawa sangatkah saya hari ini hingga semua orang asyik memandang saya? Setelah merasakan tidak ada apa yang tidak kena, saya terus juga membeli dari satu gerai ke satu gerai walaupun diperhatikan orang.
Selepas memastikan semua barang yang di pesan ibu telah dibeli, saya keluar dari pasar dan menunggu bapa di tempat yang di janjikan. Oleh kerana hari terlalu panas saya meletakkan tangan di kepala. Ketika itu barulah saya tahu mengapa semua orang asyik memandang saya ketika keluar masuk pasar tadi.

Kerana kebijaksanaan saya meletakkan kertas suratkhabar di dalam topi keledar menyebabkan kertas itu melekap di selendang mengikut bentuk kepala saya. Agaknya orangramai tadi mengganggap saya `kureng’ atau mahu menggayakan fesyen terbaru. Saya tak tau samada nak ketawa atau rasa malu dengan kejadian itu. Bila saya menceritakan kepada bapa, dia ketawa besar mendengarnya.

Satu lagi kejadian yang lucu dan memalukan ialah ketika saya telah bekerja. Oleh kerana jarak tempat kerja dengan rumah sewa agak jauh, biasanya saya akan keluar sekitar jam 6.45 pagi. Tetapi pada pagi itu saya agak terlewat bangun kerana keletihan selepas balik lambat kerana kerja dateline.

Selesai bersiap saya bergegas menuju ke perhentian bas. Hari itu saya memakai `blouse jacket’ berwarna hijau dengan kasut dan beg tangan berwarna hijau juga. Hampir sepuluh minit menunggu, bas pun sampai. Masuk sahaja di dalam bas semua orang memandang saya. Oleh kerana semua tempat duduk telah penuh saya dan seorang lagi penumpang terpaksa berdiri. Sambil itu mulalah saya perasan yang pakaian saya agak cantik pagi itu dan sebab itulah agaknya semua orang memandang saya. Tetapi bila saya melihat ke bawah barulah saya tahu yang saya telah tersilap memakai kasut. Rupanya sebelah kasut saya berwarna biru. Alangkah malunya saya.

Ketika bas berhenti di lampu isyarat saya bergegas turun. Hendak berjalan satu kilometer balik ke rumah berpeluh juga rasanya. Hendak tak hendak, terpaksa menunggu teksi. Ketika itu kenderaan agak banyak di perhentian lampu isyarat itu. Saya tau penumpang-penumpang bas pasti akan memandang ke arah saya ketika bas berhenti. Walaupun rumput agak tinggi di tepi jalan itu tapi saya pasti mereka akan perasan pada kasut saya yang berlainan warna. Ketika itu saya terlihat sebuah lubang di tepi jalan itu dan menghulurkan sedikit sebelah kaki ke dalamnya untuk mengelak orangramai nampak yang kasut saya berlainan warna. Saya tawakkal, entah-entah lubang ular. Dalam hati rasa nak ketawa. Salah saya juga kerana tidak membuka lampu ketika tergesa-gesa mengambil kasut dalam keadaan agak gelap tadi. Akhirnya saya terlewat juga sampai di tempat kerja.

Sejak hari itu saya sudah serik untuk mengenakan kasut dan beg tangan mengikut warna baju. Biarlah pakai kasut dan beg tangan hitam saja yang masuk untuk semua warna. Saya tidak ghairah lagi untuk membeli beg atau kasut yang berbagai-bagai warna. Inilah akibatnya tidak berhati-hati dalam berbuat sesuatu, akhirnya diri sendiri juga yang malu. Walaupun begitu saya masih menyimpan koleksi kasut-kasut dan beg-beg itu sebagai kenang-kenangan waktu zaman muda.

Saturday, May 10, 2014

Tidak pernah ku sambut hari ibu kerana pada ku hari untuk ibu adalah setiap hari. Semenjak ketiadaan ibu yang telah pergi hampir 24 tahun lalu, aku menjadi terlalu sepi, tiada tempat untuk mengadu dan tempat bermanja. Namun hari ini bila melihatkan kegembiraan insan2 yang menyambut Hari Ibu masing-masing, terdetik rasa untuk melakarkan sejambak kasih melalui titipan puisi. Ibu, doaku sentiasa mengiringimu di alam sana, semoga kau tenang dan damai di pengabadian...

Sunday, May 4, 2014

BUAT BAIK BERPADA-PADA...


Ada segelintir mereka yang menyindir, marah-marah dan mempersoalkan tenteng kedatangan Obama ke Malaysia. Soalan yang sepatutnya ada didalam fikiran kita ialah… Siapalah kita? Mampukan kita menolak bila ada pemimpin berkuasa besar yang mahu menjadi tetamu kita. Bukankah telah menjadi polisi Malaysia untuk tidak menjadi musuh kepada sesiapa dan  menerima siapa juga tetamu yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kita bukan mempunyai kuasa besar spt Cina atau Russia. Lihat saja Russia, mereka tahu mereka mampu melawan hingga berani mengugut untuk tidak membayar hutang  mereka kepada US, malah menjadi seperti Korea Utara yang akhirnya disisih dan mahu dihancurkan. 
Kita bangga dengan Tun Mahathir yang mampu meletakkan nama negara ke mata dunia tapi ada pengorbanan yang harus kita lalui. Lihat bagaimana George Soros penyangak matawang, menyerang ekonomi kita dan memporak-perandakan ekonomi negara-negara miskin dan sedang membangun hingga jatuh merundum, beratus2 syarikat lingkup, berpuluh-puluh projek terbengkalai termasuk lah projek bakun. Tetapi kita bernasib baik kerana mempunyai Perdana Menteri yg bijak dan mampu mengendalikan masalah malahan tidak tunduk kepada tekanan mereka.
Pada pandangan US, Malaysia ini mungkin umpama habuk yang terlekat dibahu, bila2 sahaja boleh dijentik dan dibuang.   Kita bukannya berbuat baik untuk mengampu tetapi ada perkara lebih besar yang perlu kita utamakan.… keamanan dan keselamatan negara.  Kita hanyalah sebuah negara kecil, bukan juga negara militeri malahan ekonomi Malaysia kebanyakkannya masih bergantung kepada pelabur2 dari US. Tetapi itu bukanlah bermakna kita harus tunduk pada mereka umpama kata Tun M, jangan kita merasa satu paksaan untuk tandatangani (TPPA) walaupun negara besar datang, kita merasa kecil, yang  akhirnya akan merugikan kita. 
Orang-orang kita ini kadang2 double standard. Dok sindir-sindir, kutuk-kutuk, maki-maki tapi Md Donald telan jugak, KFC diorang cari jugak. Kalau kita rasa kita mempunyai kuasa sehebat mereka , kita sentuh satu perkara kecil sahaja tapi byk kepentingannya.… mampukan kita menghasilkan ubat-ubatan buatan sendiri secanggih buatan US? Jangan hanya kata ubat tongkat Ali dan kacip Fatimah sahaja yg boleh kita buat….
Walaupun kita tahu MEREKALAH sebenarnya dalang kepada seluruh negara di dunia tetapi biarlah kita bergerak secara berhati-hati “umpama  menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.”  Kita kena yakin pada ketentuan Allah, apa sahaja yang terjadi adalah kehendakNya, cuma kita perlu berusaha untuk tidak terjadinya perkara2 buruk menimpa bumi Malaysia yang tercinta ini. In Sya Allah...

Monday, January 21, 2013

AKHLAK REMAJA DITAHAP KRONIK

Tinggal di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini sesekali ingin menghilangkan kebosanan dengan keluar bersama suami, berkereta menyusuri setiap jalan-jalan yang kelihatan meriah dengan lampu-lampu neon berbagai warna. Menjengah waktu malam di bandaraya Kuala Lumpur terutamanya hujung minggu bagaikan melihat pesta dunia yang beraneka ragam seolah dunia tidak akan kiamat. Kuala Lumpur tak pernah mati. Meskipun hampir dinihari kereta-kereta masih menjalar di jalanraya. Kadang-kadang terpegun melihat pemandunya, wanita jelita muda awal 20an bergaya dengan kereta-kereta mewah buatan luar negara. Tentunya hati tertanya-tanya dan membuat kesimpulan yang pastinya tidak elok di kotak fikiran.Bila melalui Jalan Sultan Ismail ke Jalan P.Ramlee mata bagai tidak tergamak melihatnya. Selalunya saya akan menutup tingkap kereta kerana mual dengan bau arak dari pusat-pusat hiburan terbuka di kawasan ini. Di kiri kanan jalan kelihatan anak-anak muda berkumpul lelaki perempuan dengan yang perempuannya terlebih seksi mengalahkan Jenifer Lopez. Ada yang terhuyong-hayang, yang pastinya meneguk air kencing syaitan. Dua tiga wanita muda berpakaian seperti tak cukup kain berjalan berpelukan dengan lelaki-lelaki mat saleh yang botak dan boroi. Rasa bangga agaknya dapat memikat lelaki2 mat saleh ini. Tak kesahlah walaupun tua, botak dan boroi. Gelagat wanita-wanita melayu ini kadang-kadang melebihi batas dengan sekejap-sekejap mengucup teman mat salehnya walaupun kadang dilihat mat saleh ini seperti buat tak tahu saja.Itu belum lagi golongan maknyah yang berdiri setia di tepi-tepi jalan dengan gaya manja dan mengoda, menunggu pelanggan barangkali. Pernah juga saya terlihat seorang pelancong mat saleh mengejek seorang makyah. Apalagi maknyah ini dengan `broken english’ nya memaki hamun pelancong itu sambil menayangkan keseluruhan buah dadanya sambil menjerit-jerit mengatakan dia lebih baik dari wanita asli.Pernah saya membawa seorang saudara lelaki dari luar bandar berjalan-jalan di sekitar kawasan ini. Bagai nak terjojol biji matanya melihat gelagat `adik-adik’ yang semuanya berpakaian seksi menonjolkan dada yang besar dan gebu. Sambil ketawa saya berkata, `jangan tertipu bang, mereka pun kencing berdiri macam abang juga". Memang tak dinafikan, sekali pandang sebijik macam wanita asli tapi kalau berjalan, aduh, terlebih lenggoknya. Maklumlah `jantan’ nak mengayakan jalan seorang wanita.Lama berkereta, tekak rasa dahaga dan perut bekeroncong. Berhenti pula di sebuah restoran 24 jam belakang KLCC. Ingatkan maksiat mata dah habis. Sambil menjamu hidangan mamak yang lazat, mata dijamu lagi dengan dada-dada yang membuak seperti hendak terkeluar. Kadang sampai terasa hilang selera makan apatah lagi bila terlihat lurah-lurah buntut yang mengelikan atau seluar dalam g-string yang bermacam-macam warna. Dengan rokok jenama Salem atau Lucky Strike yang tersepit di jari, mereka terus bersembang tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang. Sudah tentu kebanyakkannya mereka ini baru balik dari disko atau pusat hiburan lain. Saya mencubit peha suami yang sesekali menjeling menonton tayangan percuma di depan mata.Apa nak jadi dengan generasi muda hari ini. Timbul rasa sedih dan sayu bila memikirkan betapa ramainya anak-anak muda zaman ini yang telah rosak akhlak dan yang paling terkilan kebanyakkannya adalah remaja melayu. Itu belum lagi yang terlibat dengan pelbagai kancah jenayah, dadah, black metal, bohsia dan maksiat lainnya.Malaysia hari ini menjadi salah satu dari destinasi pelancongan di dunia. Selain dari kebudayaan dan tempat-tempat menarik di Malaysia apakah yang ingin kita ditonjolkan? Keramahan rakyatnya atau keruntuhan akhlak yang semakin kronik di kalangan generasi muda? Pelancong yang kebanyakkan datang dari Negara-negara Timur Tengah, kaum wanitanya bertudung dan berjubah, paling tidakpun mereka berpakaian sopan. Alangkah malunya kita.Siapakah yang harus disalahkan? Arus kemodenan, didikan keluarga, atau kerajaan yang telah membenarkan diwujudkan tempat-tempat hiburan ini. Inikah Negara Islam sebenarnya?

Anje k